Saturday, November 12, 2011

Surat Ungu untuk Nuha

Kelip-kelip kusangka api,
Kalau api mana sumbunya?

Hilang ghaib kusangka mati,
Kalau mati mana kuburnya?

Saya tidak pasti siapa pemilik asal pantun dua rangkap ini, tapi saya temuinya ketika membaca novel karya Noor Suraya, "Surat Ungu untuk Nuha" terbitan Jemari Seni Publishing. Ini karya beliau yang pertama saya baca. Karya lama, cetakan sulung tahun 2007. Bertuah rasanya dapat membaca hasil karya ini. Bahasanya memang teratur dan indah. Bersesuaianlah dengan watak utamanya seorang lelaki berjiwa seniman.

Watak-watak di dalam cerita ini, saya kira agak menarik. Kelakarpun ada. Nuha, gadis cekal yang berusaha bangkit dari kekecewaan, dan watak Alang yang nampak macam setakat jaguh kampung sahaja, tapi sebenarnya berwawasan tinggi (itu pengakuan Alang sendirilah), kedua-duanya digarap penuh teliti. Dan watak-watak sampingan yang datang bukan sekadar penambah muka surat menjadikan karya ini boleh tahan bagusnya. Ia bukan sebuah kisah cinta semata-mata. Ia sebuah karya yang bermesej dan memberi pengajaran, sedikit sebanyak menyedarkan pembaca seperti saya. Sayangkan seseorang bukan hanya mainan di bibir, tetapi diiringi usaha yang luhur dan ikhlas ingin membawa orang yang kita sayang mendekati Pencipta-nya. Diri tidak semestinya sempurna serba-serbi, tetapi tidak bermakna kita tidak boleh sentiasa ingat-mengingati.

Saya petik sinopsis buku ini:
 
Surat Ungu untuk Nuha membawa anda menemani Nuha menaiki Ekspres Langkawi ke utara. Perjalanan kereta api pada malam dingin penghujung tahun 2005 telah menemukan Nuha Tajul Ariffin dengan Alang Rebus Tak Empuk. Nuha memang tidak menyukai lelaki berambut Afro itu sejak mula! Titik! Alang juga tidak menyenangi Nuha yang garang mengalahkan anak gergasi itu sejak awal. Titik! Padahal hidup ini rupa-rupanya tidak pernah ada 'titik' sebelum tiba waktunya. Hidup adalah suatu perjalanan waktu!

kalau cinta itu ada sayapnya... terbanglah dan hinggaplah di hati dia
berbisiklah kepada dia yang telah kuberikan hatiku
berbisiklah tentang rasaku yang satu
serulah kepadanya Cinta, sapalah dia Cinta dengan cintaku
pandanglah dia... dan ceritalah Cinta tentang aku
yang sedang jatuh hati kepadanya

Muzammil:
Nuha, benarkah... tidak semua ombak menemui pantai?

No comments:

Post a Comment