Tuesday, December 27, 2011

Dalam Kenangan...

Hujung minggu yg baru lalu saya dikejutkan dengan panggilan telefon sekitar pukul 2.30 pagi Sabtu. Adik mengkhabarkan bahawa bapa saudara kami telah meninggal dunia. Kemudian baru saya perasan sms dari balu arwah yang masuk ke inbox saya pukul 1.44 pagi. Innalillah...

Arwah merupakan anak sulung dalam keluarga, meninggal pada usia 64 tahun. Kematian mengejut saya kira kerana tidak ada ura-ura beliau sakit. Suspeknya jantung. Pemergian bapa saudara amat dirasakan. Beliau mudah didekati dan menjadi tempat rujukan terutama semenjak pemergian ayah sendiri. Malah jam tangan pemberiannya dari Dubai lebih dua tahun lalu masih saya pakai. 

Arwah merupakan seorang alim yang banyak mencurahkan ilmu dan jasa bakti. Beliau pergi tidak lama selepas kembalinya dua orang anak terunanya dari Morocco usai tamat pengajian. Allah memang pengaturcara yang paling baik. Pemergiannya meninggalkan anak-anak yang sudah bersedia untuk berkhidmat dengan segala ilmu dan kemampuan yang mereka ada. Insya-allah, merekalah pewarisnya. 

Kebetulan sekali tarikh kematian tidak jauh dari ulangtahun ke-15 pemergian ayahanda saya yang tercinta ke rahmatullah. Ayahanda meninggal sewaktu saya sedang menghabiskan sisa-sisa cuti akhir tahun Tingkatan 1. Juga akibat serangan jantung.  Hingga ke saat ini saya masih merinduinya. Perwatakan ayah memang berbeza dengan bapa saudara saya ini. Seingat saya, ayahanda saya garang orangnya (mungkin dengan anak-anak shj?). Arwah jenis yang tidak banyak bercakap di rumah. Lihat lirik matanya sahaja sudah tahu dia marah atau tidak setuju dengan perbuatan saya. Tapi entah kenapa saya tetap suka mencari peluang mendampingi arwah. Saya tidak ingat, atau mungkin juga masih belum reti, tetapi menurut kakak saya, arwah ayah memang memanjakan saya sewaktu saya kecil-kecil dahulu. Mungkin kasih sayangnya itu terkesan hingga saya tetap suka bersama ayah walaupun beliau garang. Sayang sekali ayah pergi terlalu awal. Kadang-kadang terfikir juga, 'kalau ayah masih ada, bagaimana agaknya?'. Namun saya sedar saya harus buang perasaan itu jauh-jauh. Kerana Allah Maha Mengetahui, tentu sahaja aturan Allah ini adalah yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya.

Tiada apa yang boleh saya lakukan, melainkan berdoa untuk kesejahteraan kedua-dua insan yang disayangi ini. Semoga mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan mendapat keredhaan Allah. Al-Fatihah...  

Wednesday, December 21, 2011

Saat hati jatuh cinta...

Sudah ku sedar tinggi ilmunya.
Sudah ku tahu fasih bicaranya.
Sudah ku telah elok pekertinya.

Lalu soal rupa 
sudah jadi kepentingan yang entah nombor berapa
Tidak perlu lagi pada yang berkulit cerah bermata sepet.
Yang berambut lurus berlesung pipit
Yang hitam manis apa kurangnya.
Yang sederhana.
Yang biasa-biasa sahaja.

Kerna aku telah jatuh cinta pada agamanya.

Wednesday, November 30, 2011

As I wake up...

I wonder what people think when they wake up every morning. If you are a Muslim, maybe you start with the Du'a. Then what else comes to mind in that few seconds before you actually get up and start your day? Do you think of your loved ones, like your spouse that's probably sleeping beside you? Do your mind suddenly recall the events of the night before? Or forget the past and straight away you think of what's going to happen today? Or perhaps you are still reeling from a dream you just had?

As for me, I sure dread the thought of going to work. I think that's bad. Sometimes, before I sleep, I do feel excited about work. That usually happens when I suddenly get inspiration or ideas about some problems which I can't wait to solve. But the funny thing is, the excitement dies down with some sleep and I woke up feeling heavy, as I usually do. I wish someday I can wake up and think to myself, "Here comes another fine day!" and learn to be grateful.

Wednesday, November 23, 2011

Gurindam Jiwa

Dalam benci ada simpati
Dalam marah ada sayang
Dalam cemuh ada rindu yang datang berteduh
Dan segala yang pahit itupun berlabuh

Tafsirkanlah rasa ini yang asyik menjengah
Terangkanlah tentang irama 
Yang sering berlagu di kalbu
Saat kau melihat ke mataku.
Dan tentang debar yang bertandang 
Saat kau senyum padaku.

Monday, November 14, 2011

Jaja & Din

Sekali terpikat, rasa nak kenal lebih dekat. Begitulah saya bila membaca buku. Kalau sekali berkenan dengan hasil karya seseorang penulis, saya selalunya akan kembali ke kedai buku untuk cari lagi karya-karya beliau yang lain-lainnya. Adakalanya saya akan rasa kecewa, sebab rupa-rupanya, yang best hanya buku yang pertama saya baca itu sahaja! Tapi, tentulah, benda ni subjektif. Yang tak menarik buat saya, tapi orang lain tergila-gila. Yang bagus buat saya, orang lain tak heran pon!

Namun mujurlah karya Noor Suraya yang seterusnya saya baca ini, Jaja & Din, tidak mengecewakan, walaupun pada bab-bab yang awal tu perasaan saya agak kucar-kacir sedikit dimainkan oleh Jaja, si pencerita. Bahasanya memang bersahaja, seolah-olah dengar orang tengah bergosip hangat! Walhal karekter si Jaja itu cuma bercerita pasal kisah dia dan si 'dia' sahaja. Yalah, katanya cerita yang biasa-biasa, tapi dia akan luar biasakan. Apa-apa sajalah Jaja ni.

Jom baca sinopsis dulu:

Sekiranya tiba-tiba anda bertemu dengan lelaki yang membuat jantung anda berlari setara dengan kelajuan jet Sukhoi buatan Rusia, dan mata anda pula tak bisa berpaling daripada dia biarpun sedetik, lalu apa tindakan anda?
A. katakan: lupakan sahaja itu hanya logamaya
B. rahsiakan perasaan anda dalam diari merah jambu
C. kenal pasti siapa dia, dan suruh ayah ibu meminang dia
D. segera periksa jantung, mata dan tekanan darah, ke doktor pakar

Jaja telah memilih jawapan C!

Inilah cerita Jaja yang meminang ustaz Sastera Arab lulusan Universiti al-Azhar sebagai suami. Tegarkah Jaja seorang media planner memilih hudup ala-ala 'zuhud' macam Din nanti?


Buku ini menceritakan kisah Jaja yang jatuh cinta pandang pertama kepada seorang lelaki yang tak dikenali (yang pada masa itu digelarnya dengan jolokan Ustaz M, M untuk Misteri), dengan hanya melihat gambar yang diabadikan oleh lensa kamera sahabat baiknya - gambar seorang lelaki muda berkopiah putih sedang bertafakur, memegang surah di tangan, dengan berlatar belakangkan sebuah tanah perkuburan.

Lalu bermulalah misi Jaja mencari lelaki pilihan hatinya itu, yang bukan mengambil masa sehari dua, atau seminggu, atau sebulan, tetapi bertahun-tahun juga. Memang Jaja penasaran, merindukan orang yang entah di mana batang hidungnya. Namun saat akhirnya bertemu orang yang dicari, barulah dia sedar betapa bezanya mereka bagai langit dengan bumi. Din yang luhur peribadi, mulia akhlaknya, tinggi ilmunya, kalau dibandingkan dengan dirinya yang Islam sekadar pada nama, Jaja jadi malu dan sedar diri. 

Namun kalau sudah jodoh, bersatu jua. Dan jadilah Jaja seorang wanita yang cuba belajar menjadi muslimah sejati, belajar menjadi isteri yang zuhud, yang tidak meminta-minta, yang ditinggal-tinggalkan, dan yang merelakan. Demi cinta kepada suami dan perjuangan Islam.

Dan sesungguhnya hidayah daripada Allah itu, kalau sudah sampai, tiada apa yang mampu menghalang.

Terharu juga membaca buku ini. Usai selesai tugasan di pejabat tadi, saya bermalas-malasan sebentar sebelum bertolak pulang. Saya belek buku ini yang sudah saya baca hampir ke penghujung. Namun selepas beberapa mukasurat, terpaksa tutup cepat-cepat, sebab air mata sudah bertakung. Saya kalau menangis, muka akan jadi merah. Malunya kalau orang nampak! Lekas-lekas saya capai mushaf Al-Quran, baca sekejap untuk tenangkan jiwa, cool down sikit, biar muka tu cerah balik. Kemudian saya balik ke rumah, sambung baca di rumah sahaja. Lepas tu, kalau nak menangis tujuh baldi pun saya rela! Okay, I over-exaggerate, but I did cry. Just a tiny bit. Well, maybe a little more than that. 

Bertuahnya jadi Jaja, sebab dapat suami macam Din. Tapi, rasanya Din lagi bertuah, sebab dapat isteri macam Jaja!